Sunday, March 20, 2011

Itu Amanah


Assalamualaikum....
 
Pada cuti sekolah yang lalu, Abang Teh dan Kak Tie yang merantau jauh ke negeri orang mencari rezeki, pulang bertemu keluarga. Sudah lama rasanya kami tidak berkumpul dan bertukar cerita. Rindu pada usikan dan gelak tawa mereka. Setelah seminggu kami menghabiskan masa bersama, maka tibalah masa untuk kami berpisah kembali. Semalam saya,Ma dan Kak Yong menghantar Kak Tie ke stesen bas di Geliga. Sementara menunggu bas, kami sempat berborak-borak dengan sebuah keluarga Cina. Perbezaan bangsa tidak menjadi penghalang untuk kami berbual mesra dan bergelak ketawa bersama. Semasa kami sedang rancak berbual, tiba-tiba seorang kanak-kanak berbangsa cina datang menghampiri saya, lantas memanggil saya 'kakak'. 'Cair' saya dibuatnya. Anak kecil yang baru pandai bertutur itu sangat comel, rasanya mahu sahaja saya memeluk dan mencubit pipinya yang montel.


Telatah anak kecil yang amat menghiburkan itu membuatkan saya juga teringin untuk mempunyai anak yang bijak, baik dan comel suatu hari nanti. Pasti bukan saya sahaja yang berimpian begini kerana semua wanita pasti menginginkan yang serupa. Namun apa yang harus kita ingat, anak itu merupakan amanah daripada Allah. Lahirnya anak itu adalah dalam keadaan putih bersih, suci daripada sebarang noda. Maka, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya, mendidik anak agar menjadi seorang insan yang baik budi pekerti dan soleh.




Namun, keadaan sekarang yang amat membimbangkan membuatkan saya terfikir, bukan mudah untuk kita mendidik seseorang menjadi insan. Sejak kebelakangan ini, pelbagai kisah salah laku golongan remaja dipaparkan. Penularan budaya barat semakin menjadi-jadi sehinggakan kini sifat ketimuran yang seharusnya dikekalkan oleh para remaja semakin terhakis. Sememangnya tidak adil untuk kita menghukum semua remaja sedangkan hakikatnya, dalam setandan pisang, tidak semuanya busuk. Namun, disebabkan sebahagian golongan ini yang sering membuat onar, remaja sering sahaja dikaitkan dengan gejala yang negatif. Seperti kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.




Mendidik anak untuk menjadi seorang insan bukanlah satu tugas yang mudah. Sesungguhnya, begitu berat tanggungjawab yang terpikul di bahu ibu bapa. Justeru itu, ia bermula dengan diri kita. Sebelum bergelar sebagai seorang ibu atau bapa, kita seharusnya memperbaiki kelemahan diri dan berusaha untuk menjadi seorang yang lebih baik, hamba-Nya yang soleh. Saya menyeru pada diri saya dan rakan-rakan semua, hargailah peluang yang kita ada. Gunakanlah peluang itu untuk sentiasa berusaha menjadi insan yang lebih baik. Akur pada yang Maha Pencipta, kasihanilah kedua ibu bapa kita, cintailah diri kita. Saya bukanlah insan suci yang terhindar daripada palitan dosa dan noda. Tiada manusia yang terlepas daripada melakukan kesalahan, namun apa yang penting, kita harus segera bangkit, menyesali dan memperbaiki kesalahan tersebut. Sememangnya, masih terlalu banyak yang perlu saya pelajari dan perbaiki. Saya percaya, sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia datangnya daripada ibu bapa yang sentiasa taat kepada Penciptanya dan berbudi pekerti mulia.



   
:: Hafiy Rayyan; rindu pada si montel ini yang sangat suka makan. Si comel ni sangat tangkas merangkak, berpeluh-peluh saya dibuatnya ::

0 comments:

 

It's all about.....

Sharing is caring =)

So let us share thoughts, ideas or anything. May this sharing will benefit everyone.

HAVE A NICE DAY =)

About Me

My Photo
solehah
:: friendly~if you know who I am :: music is my soul ::
View my complete profile