Monday, December 23, 2013




::23112013::

Sebulan telah berlalu. Terasa begitu pantas beredarnya waktu. Saat episod baru tercipta, kisah baru bakal bermula, menyingkap tabir disebalik Rahmat Sang Pencipta.


Alhamdulillah. Genap 6 tahun perkenalan, juga genap sebulan ikatan janji, kita masih diberikan ruang untuk sama-sama berkongsi nikmat kasih sayang kurniaan-Nya. Sesungguhnya, apa yang dinikmati pada hari ini, tidak pernah dan tidak mampu untuk dibayangkan suatu ketika dahulu. Pada zahirnya, kisah ini kisah kita. Tetapi, perhatilah sedalamnya....kisah ini bukan hanya milik dua insan yang berimpian untuk membina bahagia....tetapi ia adalah satu kesedaran tentang hakikat nikmat ukhuwah keluarga yang kita miliki selama ini.


Peristiwa 23 November 2013 yang lalu adalah lebih dari sempurna buat saya. Sejujurnya, tidak pernah terlintas di fikiran bahawa saya akan menerima lebih daripada apa yang saya sangkakan. Tiada terbayang akan dulang-dulang berhias, pakaian yang lain daripada pakaian harian biasa, dan majlis yang meriah. Walaupun sebenarnya ia adalah sesuatu yang biasa pada zaman ini,namun bagi saya, ia adalah luar biasa. Sebak dan terharu, dengan ketulusan kasih sayang ibu bapa serta keluarga dari kedua-dua pihak untuk membahagiakan kita. Sanggup korbankan masa dan tenaga demi menyampaikan niat di hati. Tiada kata yang mampu diungkapkan untuk menggambarkan betapa kami amat berterima kasih pada ibu bapa, adik beradik dan ahli keluarga atas usaha untuk menjayakan tanda perjanjian kami untuk membina baitul muslim. Syukur alhamdulillah, atas kurniaan keluarga yang sakinah. 



      


Betapa beruntungnya kita selama ini, mempunyai mereka yang sentiasa setia disisi. Dalam apa jua situasi, mereka tetap berdiri di belakang, memberikan sokongan, menjadi tulang belakang, meminjamkan kekuatan..agar kita masih mampu berdiri, walaupun saat itu dunia memusuhi. Betapa bahagianya kita, mempunyai keluarga yang penyayang...yang sedia menerima diri kita seadanya, baik buruknya kita, mengasihi kita tanpa syarat. Saat bahagia datang bertandang, mereka turut tersenyum gembira. Bila duka datang menyapa, mereka turut merasakan pedihnya. Walau terkadang ada perselisihan yang menimbulkan amarah, namun kasih sayang tetap ada, tidak pernah luntur. Merekalah syurga dunia kita, yang pastinya tidak mampu ditukar ganti.   


Sesuatu yang saya perasan, sejak akhir-akhir ini jiwa saya begitu sensitif. Terlalu mudah tersentuh apabila menyebut perihal ayah dan ibu. Di saat diri kini akan melangkah ke satu fasa yang baru, terasa bercampur-baur segala perasaan yang berkocak di hati. Saya kira, pastinya semua kaum Hawa yang berada di persimpangan ini, turut merasai pengalaman yang serupa. Syukurlah wahai Hawa, kerana Allah menciptakan kita fitrahnya mempunyai jiwa yang halus. Halusnya perasaan itu, jika digunakan sebaiknya dan dilihat dengan mata hati, mampu menemukan kita pada hakikat tentang hikmah-Nya yang indah.  


Pergolakan dalam diri ini telah membuka mata saya, menyedarkan saya..yang kadangkala sering terleka dan terlalu mengambil mudah akan tanggungjawab kita sebagai ahli keluarga, terutamanya sebagai seorang anak. Betapa tulusnya kasih sayang ayah dan ibu, yang sentiasa ada di setiap waktu, memberi panduan untuk kita menempuh cabaran hidup, yang memberi kita semangat untuk terus maju, yang sering mendoakan kejayaan dan kebahagiaan kita, malah yang sentiasa yakin pada diri kita. 


Episod ini merupakan titik tolak untuk kita lebih menghargai mereka, untuk kita tingkatkan usaha membahagiakan mereka. Semoga kita dapat sama-sama berusaha sebaik mungkin, menjalankan tanggungjawab sebagai anak yang dapat membahagiakan mereka dunia akhirat, dan menjadi ahli keluarga yang sentiasa membahagiakan orang lain. Semoga kita adalah pelaburan akhirat yang amat menguntungkan kedua ibu bapa kita. InsyaAllah.




www.islam44.net

read more "Perancang Paling Agung"
 

It's all about.....

Sharing is caring =)

So let us share thoughts, ideas or anything. May this sharing will benefit everyone.

HAVE A NICE DAY =)

About Me

My Photo
solehah
:: friendly~if you know who I am :: music is my soul ::
View my complete profile