Friday, January 6, 2012

TERUS MELANGKAH


            Hari ini, sudah masuk hari yang ke-6 kita melangkah ke tahun baru. Seperti biasa, di tahun baru ini, pasti semuanya telah bersiap sedia dengan azam tahun baru masing-masing, tidak terkecuali diri saya sendiri. Namun, tahun ini saya rasakan begitu berbeza berbanding tahun-tahun yang sebelumnya. Jika tahun-tahun sebelumnya, saya menetapkan azam kerana sedikit sebanyak terikut-ikut dengan budaya masyarakat, tahun ini tidak lagi bagi saya. Seandainya tahun-tahun sebelum ini, saya tercari-cari apakah azam yang ingin saya tetapkan, kini tidak lagi.


          Setahun menghabiskan masa di rumah, semakin banyak perihal kehidupan yang saya mengerti. Dalam tempoh setahun itu, saya semakin mengenali diri sendiri. Mungkin ada yang hairan jika saya katakan selama ini, saya sering tertanya-tanya siapa diri saya yang sebenarnya. Walau kini hampir 24 tahun saya berdiri, menghuni bumi yang indah ini, namun saya masih lagi belum begitu arif dengan diri sendiri. Masih tercari-cari diri yang sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya, diri yang sentiasa sabar dan tidak mudah mengeluh dalam mengharungi ujian-Nya, diri yang tidak mudah lupa pada yang Maha Pencipta. 



          Pengalaman yang telah dilalui selama ini, banyak membuka mata saya. Hidup ini tidak semudah angan-angan, yang sentiasa menjanjikan perkara yang indah-indah belaka. Hidup ini harus berpijak di bumi yang nyata, perlu diingat bukan hanya kemanisan yang dirasa. Kepahitan pasti ada, namun andai kita berfikir tentang hikmah-Nya, pasti hidup ini lebih nikmat dari yang dijangka. Kadangkala, kesusahan itu perlu untuk menyedarkan kita, siapa kita yang sebenarnya. Kesusahan itulah yang mengajar kita erti dewasa, kerana kesenangan itu kadangkala membuatkan kita mudah alpa. 



        Jujur saya akui, melihat rakan sebaya ada yang sudah bekerja, ada yang sibuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sememangnya terbit rasa sedih mengenangkan diri yang tidak punya apa-apa. Sedih mengenangkan perancangan diri yang perjalanannya tidak selancar orang lain. Namun kini saya mengerti, ujian ini hanya untuk menguji. Menguji kesungguhan diri mengejar apa yang dihajati, juga mengajar diri untuk sentiasa redha menerima ketentuan-Nya. Perancangan itu tidak semestinya akan terlaksana, kerana mungkin Yang Maha Pencipta mempunyai rancangan yang lebih bermakna untuk kita. Saya amat yakin, Dia Maha Penyayang, sentiasa memberikan yang terbaik kepada hamba-Nya. 


           Jadi, kita hanya perlu berusaha sebaik mungkin dalam menjalani kehidupan ini, dan menikmati segala yang telah diberi. There's no promise that life would be easy, but it's worth to try it.



0 comments:

 

It's all about.....

Sharing is caring =)

So let us share thoughts, ideas or anything. May this sharing will benefit everyone.

HAVE A NICE DAY =)

About Me

My Photo
solehah
:: friendly~if you know who I am :: music is my soul ::
View my complete profile